Welcome,Readers !!

Dear readers,kindly drop some comments before leaving this blog,okay?
0

Bab 6

“Hello. Assalamualaikum. Mir, ni mak ni.” Loghat Kedah pekat itu cukup dia kenali. Mak.
“Waalaikumussalam. Oh, mak! Mak sihat ke? Adik – adik macam mana?”
“Mak sihat. Adik – adik hang pun sihat. Hang macam mana?
“Mir sihat je, mak. Duit yang Mir kirim tu mak dah terima ke belum? Cukup tak, mak? Kalau tak cukup Mir boleh kirim lagi. Kalau tak cukup, mak habaq kat Amir, ye,” pesan Amir kepada ibunya. Begitulah tanggungjawab berat yang digalasnya setelah kematian bapanya. Tugas sebagai ketua keluarga terpaksa digalas kerana selaku anak sulung, hanya Amir harapan dan tempat bergantung mereka sekeluarga.
“Hang tak payah risau pasal duit tu semua. Taulah mak macam mana nak bajet duit tu. Yang hang bagi tu pun dah lebih dari cukup, Mir. Ni mak nak tanya hang ni, hang tak mau balik rumah ka? Lama dah hang tak balik jenguk adik – adik hang ni. Lagipun, mak ada hal sikit nak sembang dengan hang. Mak harap hang boleh balik hujung minggu ni. Boleh dak?
“La, mak ni. Amir tak sure lagi boleh balik ke tak. Kalau Amir busy, macam mana nak balik? Awat mak tak habaq awal – awal? Kalau tidak, bolehlah Amir confirmkan dengan bos. Apa yang penting sangat tu, mak? Tak boleh cakap dalam telefon ke?
“Ishh, budak ni. Nak sembang pasal jodoh hang. Bab – bab nikah kawin ni, mak kena cakap betul – betul dengan hang. Mana boleh cakap dalam telefon macam ni. Alah, hang balik sudah la. Hang bagitau kat boss hang tu, yang hang ni tak pasal – pasal jadi bujang terlajak, dialah yang puncanya! Macamlah kat pejabat tu hang sorang ja yang ada, semua kerja dia longgok kat hang. Hang ni sibuk kalah YB dah aku tengok. Orang kerja, hang pun kerja. Orang cuti, hang kena kerja jugak. Dah tu bila hang nak kawin?” Amir ketawa, lucu mendengar bebelan ibunya.
“Yang hang gelak ni awat? Mak tak melawak ni, Mir. Mak nak hang balik jugak, tau!”
“La, mak ni. Mir gelak sebab cara mak cakap tu lawak la. Amir rindu sangat nak jumpa mak. Lama tak makan asam pedas mak. Huh, mesti bestlah, mak!”
“Hmm, hang jangan nak ubah topik pulak. Hang ni kalau mak cakap pasal kawin ja, ada la segala mak nenek alasan hang bagi kat mak. Kali ni, mak nak bagi jadi jugak. Hang dengaq dak apa yang mak cakap ni?”
“Yelah, yelah. Nantilah kita cakap, ye mak. Okey, mak. Bye. Assalamualaikum...”
“Eh, Mir, Amir...” Klikk. Talian terputus.
Mak Leha sekadar menggelengkan kepala mengenangkan kerenah anak terunanya itu. Ada – ada saja alasannya. Pantang diajak berbual soal nikah kahwin, ada saja alasannya nak mengelak. Kalau berkeras jugak, sudahnya dia buat endah tak endah. Puas Mak Leha cadangkan sesiapa sahaja yang dia berkenan dihati tapi tetap hampa kerana anak terunanya itu sering menolak mentah – mentah.
Kali ini, Mak Leha sudah nekad. Wajah Suhaila, anak gadis rakan baiknya, Embun terbayang di ruang mata. Sudahlah cantik, bijak berpelajaran, lemah – lembut dan sopan pula. Ayu sekali bila bertudung.
‘Kali ni, Amir takkan menolak. Macam mana sekalipun, mak akan pastikan dia jadi menantu mak, Mir,’ hati kecil Mak Leha berikrar.



Hujung minggu itu, destinasi Amir, tak lain dan tak bukan, ke kampung ibunya, Kampung Teluk Malek, Jitra, Kedah. Dia pulang dengan hati yang menyimpan sejuta rasa. Hatinya berbelah – bagi. Antara hendak pulang atau tidak. Wajah ibu yang begitu mengharapkan kepulangannya bermain di ruang mata. Wajah adik – adik yang lama tidak dijenguk. Terbit rasa bersalah di hatinya kerana terpaksa berjauhan dengan mereka dan dia hanya mengirim wang kepada mereka tanpa pulang menjenguk mereka akhir – akhir ini. Tambah sibuk apabila dia dinaikkan pangkat ke jawatan yang disandangnya sekarang.
Walaupun begitu, dia berat untuk pulang. Amir tersenyum sendiri. Dia terkenangkan ibunya yang sering membebel dengan sikapnya yang tidak pernah ambil pusing jika wanita yang sudah lebih separuh abad itu mula mendesaknya memilih suri hidupnya. Setiap kali pulang ke kampung, ada saja cerita tentang anak gadis sekampung ataupun anak teman – teman rapat ibunya. Jenuh juga orang tua itu ‘berkempen’, sudahnya, Amir tetap geleng kepala.
Nak kata dia terlalu memilih, tidak juga cuma dia tidak tertarik. Lucunya, sekelip mata sahaja muncul Syazana, hatinya sudah tertawan. Di mana cantiknya Zana, hanya matanya yang tahu. Di mana menariknya Zana, hanya hatinya yang tahu. Otaknya sendiri gagal menafsir persoalan – persoalan itu. Amir senyum lagi. Hatinya hanya ada pada Syazana. Dia sanggup menunggu sehingga hati Zana benar – benar terbuka untuknya.
Khayalannya tentang Syazana terhenti bila menyedari Suzuki Vitara yang dipandunya sudah memasuki halaman rumah. Sempat dia menaip mesej ‘terakhir’ untuk Syazana sebelum keluar dari kereta. Bukan apa, sampai sahaja disitu, bererti dia berada di ‘zon off handphone’. Mak Leha memang pantang kalau handphonenya berbunyi ketika di pulang ke kampung. Mulalah dia membebel. Tak cukup itu, dia mula mengungkit kembali apa saja yang dirasakan tak kena. Daripada dileter sepanjang hari, Amir rela menurut katanya.
Selesai makan malam, Amir keluar mengambil angin di beranda rumahnya. Seketika kemudian, Mak Leha keluar sambil menatang dulang berisi dua cawan kopi.
“Adik – adik dah tidur ke, mak?”
“Hmm, Farid awal – awal lagi mengantuk dah. Taulah dia tu, mula dari matahari naik sampailah matahari turun, asyik main ja. Pon tengah baca buku. Cikgu bagi banyak kerja sekolahlah tu. Siang tadi mak dok hingaq dah kat dia suruh buat kerja sekolah tu, dia kata mak suka berleter kat dia. La ni, mata dah merah dah tapi kerja tak siap jugak. Biaq pi kat dia, mak tak mau kata apa. Sapa suruh tak mau dengaq cakap mak tadi!” luah Mak Leha geram.
“Mak, Amir mintak maaf kat mak sebab Amir terpaksa tinggal adik – adik kat mak. Amir tau, Amir yang sepatutnya jaga Angah, Farid dengan Pon tu. Mak pun tanggungjawab Amir tapi nak buat macam mana, Amir pi cari duit. Amir ajak mak pi dok ngan Amir mak yang tak mau. Abih, macam mana?”
“Mir, hang dengaq la apa yang mak nak habaq kat hang ni. Mak sayang rumah ni, Mir. Dari mula mak kawin dengan arwah ayah hang dulu sampai la ni, ni la dunia mak. Ayah hang mati di rumah ni, mak pun harap kalau mak mati, biaq mak mati di rumah ni. Pi la mana hang nak pi, hang jaga diri hang sudah. Tu ja yang mak mintak. Pasal adik – adik, takpa. Semua dah tau jaga diri. Semua dah reti berdikari. La ni, hang tu yang jadi masalah. Umur makin meningkat tapi hang tak kawin – kawin jugak. Carilah sorang nak jaga makan minum hang, sakit demam hang, taklah mak risau. Hang ada dok tunggu sapa – sapa ka? Kot hang ada sedih putus cinta ka?”
Amir ketawa mendengar andaian – andaian ibunya itu. “Mak, pasal Amir mak jangan susah hati. Ada jodoh nanti Mir kawin la. Lagipun selama Amir dok JB ni, Amir okey je. Mak janganlah bimbang pasal Amir. Bukan Amir tak mau kawin, tapi hati Amir ni tak terbuka lagilah, mak. Calon pun takde, mak. Sapalah yang nak kat anak mak ni...” balas Amir memancing ibunya. Dia ingin tahu, anak gadis siapa pula yang berjaya menambat hati ibunya.
“Mir, kalau Amir tak ada calon lagi ‘kan, Mir, mak ni berkenan sangat dekat Ila, anak Cik Embun tu. Mir ingat dak? Dulu ‘kan depa selalu mai rumah kita, Amir selalu main dengan dia. La ni dia segak sungguh la, Mir. Cantik, berpelajaran pulak tu. Dia pi mengaji sampai ke luar negara. Mengaji di sana lama pun, Mir, mak tengok dia eloklah. Pakai tudung, tutup aurat, serba – serbi lengkap. Mir nak dak kat dia? Mak boleh pi tanya Cik Embun. Kalau Mir nak tengok dia, esok jom kita pi rumah Cik Embun. Nak?”
“Mak, Ila tu ‘kan macam adik Amir dah?”balas Amir sambil memaut bahu ibunya ke sisi. Mak Leha menyandarkan kepalanya ke bahu Amir.
“Mir, mak cuma nak anak mak ni bahagia. Bukan mak nak desak hang. La ni, hang pi la tengok dia dulu. Mak tau hang mesti berkenan kat dia kalau hang tengok dia. Susah nak cari orang macam tu, Mir. Nanti hang lambat, ada orang lain sambar macam mana?” Mak Leha cuba memujuk Amir namun dia sekadar tersenyum.
“Takpelah, mak. Kalau dapat kat orang lain, maknanya dia bukan jodoh Amir. Mak tak payah risau. Kalau jodoh, tak ke mana, ‘kan?
“Mak penat dah dok pujuk hang ni. Awat, berat sangat ka permintaan mak kat hang ni, Mir? Payah
sangat ka hang nak pilih sorang? Mak ikut ja cakap hang dari dulu lagi. Hang tak mau, takpa, mak ikut jugak. Tapi kali ni, mak bagi kata dua kat hang. Kalau bulan depan hang tak bawak balik pilihan hati hang mai jumpa mak, mak pi pinang Ila tu. Tak dak pilihan lain dah. Mak bagi hang masa sebulan, kalau hang rasa Ila tu tak cukup baik untuk jadi isteri hang, bawaklah perempuan yang hang rasa terbaik di mata hang jumpa dengan mak. Mak tak mau dengaq alasan hang dah,” nada tegas Mak Leha berisi kecewa.
Amir tersentak mendengarnya. Zana?
“Mak, jangan desak Amir macam ni. Amir tak pernah pikiaq serius lagi pasal ni. Amir tak bersedia lagi, mak.”
“Kalau hang tak sedia lagi, mak bagi hang masa sebulan nak bersedia. Kalau hang tak pikiaq lagi, ada sebulan untuk hang pikiaq. Mak tak mau dengaq alasan hang kali ni. Muktamad. Titik,” ayat terakhir itu benar – benar membuktikan Mak Leha tetap dengan keputusannya. Amir mengeluh. “Ingat, Mir. Mak tak mau dengaq alasan,” dengan kata – kata itu, Mak Leha bangun meninggalkan Amir sendirian di situ.
Amir menggaru – garu kepalanya yang tidak gatal. Buntu dia memikirkan tindakan terbaik untuk memenuhi permintaan ibunya. Tentu sekali Suhaila bukan pilihan hatinya tapi Syazana. Soalnya kini, bersediakah Zana? Dia sendiri telah berjanji untuk terus menunggu sehingga hati Syazana benar – benar terbuka untuknya tapi kini perlukah dia memungkiri janji itu dengan membangkitkan semula soal hati dan perasaan Zana? Amir benar – benar keliru dan buntu.

0 comments:

Post a Comment